dAtE : 11 & 12 mEi 2014
vEnuE : GununG KinAbALu saBah
mEmbErS : sYa MiLk & aIdiLi SaDo-SaDo
My sTorY
Berdiri di ketinggian 4092 meter dari aras laut adalah satu
pengalaman indah yang sukar diungkap dengan kata-kata. Ketinggian ini hampir
menyamai ketinggian sembilan kali KLCC yang disusun secara bertingkat.
Melihat gumpalan awanan putih yang berkepul-kepul di langit
biru, membuatkan awang seakan terlupa seketika pada kaki yang sedang menjejak
daratan. Terasa tubuh ini begitu ringan seperti kapas yang berterbangan di
udara. Jika ditanya apakah perasaan awang, sudah tentu jawapannya adalah sangat
memuaskan.
Puas kerana impian untuk berdiri di puncak tertinggi Malaysia
dan kelima Asia Tenggara, akhirnya menjadi kenyataan. Puas kerana segala
kesusahan sepanjang pendakian, berbayar dengan berdiri di puncak menyaksikan keindahan
ciptaan Tuhan.
Syukur Alhamdulillah, diberi kesempatan ini melihat kebesaran
Allah. Kelihatan jelas di hadapan mata hamparan bumi ini dipasakkan dengan
gunung-ganang nan indah berdiri teguh. Sememangnya benar sekali firman Allah
dalam surah an-Naba’ ayat enam dan tujuh, “bukankah kami telah menjadikan
bumi sebagai hamparan. Dan gunung-ganang sebagai pasak?”
Kinabalu yang dari kejauhan menyiratkan panorama yang indah.
Kinabalu yang dari kejauhan selalu menjadi objek foto dan lukisan spektakular.
Kinabalu yang dari kejauhan hanya mampu dilihat dari hamparan sekeping matawang
satu ringgit. Dan Kinabalu yang dari kejauhan hanya mampu dipandang dengan
sepasang mata, kini tiada lagi kejauhan tetapi berada terus dalam dakapan.
Cabaran Mendaki
Pendakian ke puncak bukanlah satu perjalanan yang mudah,
apatah lagi membawa bebanan seberat hampir lapan kilogram di bahu. Sekalipun
trek untuk mendaki diselenggara dengan baik, namun keazaman dan stamina yang
kuat perlu bagi mendorong kaki terus melangkah. Cabarannya bukan hanya pada
trek pendakian yang jauh, licin atau bebanan di bahu sahaja, tetapi cuaca yang
berubah-ubah juga memberi cabaran tersendiri. Walaubagaimanapun, setiap hampir
satu kilometer terdapat pondok check point bagi memberi kemudahan kepada
pendaki melepaskan lelah.
Di setiap check point ini, pendaki boleh mengisi air
minuman dan membuang hajat kerana di sini juga turut disediakan tandas. Ada
lebih tujuh check point yang boleh ditemui sepanjang laluan dari pintu
masuk Timpohon, (tidak termasuk laluan dari pintu masuk Mesilau)
Untuk perjalanan ini, awang bersama dua lagi rakan pendaki
tegar memilih untuk memulakannya dari pintu masuk Timpohon, kerana lebih
singkat berbanding Mesilau. Perjalanan kami juga dikawal selia oleh seorang mountain
guide dari suku tidung bernama Rhino, bagi mengelakkan sebarang perkara
yang tidak diingini berlaku. Dan itu juga menjadi syarat bagi setiap pendaki
sekalipun secara berindividu.
Kami bergerak seawal jam 8.30 pagi dari pintu masuk menuju ke
Laban Rata. Di sini pendaki akan bermalam di pondok penginapan untuk melepaskan
lelah, sementara menunggu jam 2.30 pagi. Ini kerana perjalanan ke puncak hanya akan
bermula pada waktu tersebut.
Sepanjang perjalanan menuju ke Laban Rata, kicauan unggas dan
cengkerik hutan yang saling bersahutan menjadi melodi indah bagi kami. Bukan
itu sahaja, kami turut ditemani juga dengan tupai-tupai jinak, disamping berbagai
jenis tumbuhan flora yang terhidang di depan mata.
Sememangnya bagi pendamba keindahan alam, tidak akan terasa
jauh dan penatnya mendaki. Kecantikan bunga-bungaan dan pepohonan hijau
diselimuti lumut berbagai jenis seperti di dalam filem “Lord of the Ring”
sudah cukup untuk melekakan minda mentafsir erti penat. Ditambah lagi dengan
suasana sekitar yang dingin segar, cukup membuatkan pendaki begitu asyik dan
teruja.
Laban Rata
Jam 3.30 petang kami sampai di Laban Rata setelah mengharung
hujan yang lebat sepanjang tujuh jam pendakian. Sejuknya jangan cakap, memang
terasa hingga ke tulang. Apa yang ada dalam kepala tidak lain hanya memikirkan
katil dan selimut sahaja. Bab lain tolak tepi.
Di Laban Rata terdapat lebih kurang enam pondok penginapan
yang boleh memuatkan hampir 200 orang dalam satu-satu masa. Pondok kami pula
tidaklah sebesar mana, hanya cukup untuk sepuluh hingga dua belas orang sahaja.
Namun malangnya di pondok ini, heater mengalami kerosakan. Mahu atau
tidak, terpaksalah kami mandi dan beristinjak dengan air yang sejuk seperti ais
dalam cuaca sedingin 10 darjah celcius. Tidakkah haru dibuatnya. Hampir membeku
seluruh tubuh.
Laluan Ke Puncak
Pagi itu sebelum memulakan pendakian, kami diberikan
penerangan apa yang perlu dilakukan. Arahan dari mountain guide sangat penting
kerana laluannya tidaklah semudah ketika menuju ke Laban Rata.
Sepanjang seribu meter pendakian, laluannya memang agak mudah
kerana hanya perlu mendaki tangga-tangga kayu buatan. Namun, sesudah kilometer
yang ketujuh, pendakian kami semakin mencabar kerana perlu berpaut pada tali sejauh
400 meter di laluan curam dan berbatu.
Apa yang perlu dilakukan hanya berjalan dengan berhati-hati. Gerun
dan berdebar juga dibuatnya. Manakan tidak, keadaan alam yang gelap gelita hanya
berpandukan lampu suluh ditangan, sekali silap langkah, “dum” terus ke
bawah jawabnya.
Jam 6.30 pagi, akhirnya kami sampai di pondok terakhir iaitu
Sayat-sayat check point di ketinggian
hampir empat ribu meter. Di sini pendaki
perlu mendaftarkan diri bagi menentukan adakah mereka berjaya memperoleh sijil
berwarna atau hitam putih. Bagi yang sampai ke puncak, sijil berwarna akan
diberikan. Sebaliknya bagi yang gagal hanya sijil hitam putih yang akan di bawa
pulang.
Semakin menuju ke puncak, keadaan udaranya semakin menipis
dengan suhu yang sejuk mencapai enam darjah celcius. Cukup membuatkan penulis
menggigil kesejukan, terutama ketika datang tiupan angin. Di ketinggian empat
ribu meter dari aras laut ini juga pendaki perlu berhati-hati kerana “acute
mountain sickness” (AMS) boleh menyerang bila-bila masa sahaja.
Awang juga tidak terlepas mengharungi detik yang sukar di
sini kerana mengalami simptom AMS iaitu pening, loya dan sukar bernafas. Sarung
tangan yang dipakai dua lapis juga masih tidak mampu menghangatkan hujung jari
jemari. Ketika inilah ada kalangan pendaki lain yang memberikan tip agar awang
bernafas dan melangkah dengan perlahan, agar tubuh dapat menyesuaikan diri
dengan persekitaran. Situasi ini membuatkan awang teringat pepatah Inggeris
yang berbunyi, ““There are no strangers on the mountain, only friends to be
met”
Tebing Curam
Sejam di puncak menghayati keindahan ciptaan Yang Maha Esa,
tiba masa untuk turun. Perjalanan turun bukanlah satu perjalanan yang mudah,
kerana di sinilah mental kami betul-betul teruji.
Manakan tidak, sewaktu mendaki keadaan ketika itu gelap
gelita dan pandangan kami hanya tertumpu pada tali sahaja. Sebaliknya ketika
turun, minda seakan tidak percaya, bagaimana kami mampu mendaki, sedangkan
laluannya begitu curam. Bagi mereka yang gayat dan fobia dengan ketinggian
sudah tentu mengambil masa yang terlalu lama untuk sampai ke bawah, kerana
terpaksa berperang dengan ketakutan. Walaupun segalanya tampak sukar, syukur
Alhamdulillah, akhirnya kami sampai juga ke bawah dengan selamat.
"Kinabalu! Akhirnya dapat juga aku takluk puncakmu. Memang TERBAEK,
TERBAEK, dan TERBAEK"
1 ulasan:
What are the best UK betting sites? - Mapyro
› titanium engagement rings for her › Games › New › › Games › New 1 메이피로출장마사지 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 2016 ford focus titanium 19 20 titanium iv chloride 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 31 32 33 34 35 36 37 38 39 40 41 42 43 44 ford ecosport titanium 45 46 47 47 48 49 50 51 2
Catat Ulasan